Raja Muda Perlis Mahu IPT Lakukan Anjakan Paradigma

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu institusi pengajian tinggi (IPT) melakukan anjakan paradigma dalam memasyarakatkan ilmu bagi melahirkan modal insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan memantapkan persaingan global.

Menurut baginda, anjakan paradigma di peringkat IPT juga akan memberi kesan kepada cara berfikir, mengatur strategi serta kaedah beroperasi terutama bersama pemegang taruh.

“Dalam era perkembangan ilmu yang pesat, penghasilan inovasi, serta tahap interaksi pada peringkat global yang tinggi, kita perlu memikirkan bagaimana sistem pengajian tinggi dapat meningkatkan kapasiti modal insan untuk pembangunan negara,” titah baginda sebelum menyaksikan majis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Holdings Sdn Bhd dengan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) di Banda Acheh semalam.

Pada majlis itu, UniMAP Holdings Sdn Bhd diwakili Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin manakala UUI diwakili Ketua Yayasan Ubudiyah, Dedi Zefrizal.

Menurut siaran media UniMAP hari ini, hadir sama menyaksikan majlis itu ialah Rektor UUI Marniati M.Kes dan Timbalan-timbalan Naib

Baginda yang juga Canselor UniMAP turut menekankan tentang cabaran dan perubahan landskap pengajian tinggi yang dinamik dan perlu ditangani dengan bijaksana oleh kepimpinan IPT dan warganya.

“Sejak kebelakangan ini, orang ramai mula mengambil berat tentang kepentingan pengajian tinggi dalam pengukuhan ekonomi, pengembangan sosio-budaya dan pembangunan masa depan masyarakat,” titah baginda

Sehubungan itu, menurut baginda, UniMAP telah mengorak langkah proaktif termasuk melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk UUI yang terjalin sejak 2013.

Kerjasama itu membuka peluang kepada para pensyarah UUI menyambung pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran di UniMAP dengan peringkat awal sebanyak 12 pensyarah UUI ditawarkan tempat di UniMAP melalui tajaan penuh UUI atau Kerajaan Acheh.

UniMAP juga turut menyumbang kepakaran dan khidmat nasihat dalam membangunkan kampus serta fasiliti di UUI bagi memastikan segala kemudahan dan infrastruktur akademik di institusi itu selesa kepada seluruh warganya.

Sebelum ini, sebuah kios yang mempromosikan kemudahan yang terdapat di UniMAP diwujudkan di kampus induk UUI yang terletak di Gampong Tibang, Banda Acheh.