Ruang kerjasama ekonomi Acheh-Perlis luas

Ruang kerjasama ekonomi Acheh-Perlis luas
15 Februari 2015
RUANG kerjasama ekonomi antara Perlis dan Acheh sentiasa terbentang luas dan ia harus dimanfaatkan secara bersama oleh para pelabur, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sehubungan itu, baginda mempelawa para pelabur Acheh untuk melihat potensi pelaburan di Perlis secara dekat manakala syarikat-syarikat Perlis juga boleh mengenal pasti peluang pelaburan di Acheh termasuk dalam sektor pendidikan, pelancongan, pertanian dan perikanan.

Sempena majlis makan malam anjuran Walikota (Datuk Bandar) Banda Acheh,

“Acheh berpotensi untuk membekalkan sumber bahan mentah yang lebih murah dan berkualiti bagi memenuhi keperluan industri halal di negeri Perlis,” titah baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap)

Menurut siaran media Unimap hari ini, Raja Muda Perlis berada di Banda Acheh
bagi merasmikan Bengkel Pembentangan Hala Tuju Unimap 2016-2020 di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) semalam dan berkenan menerima undangan ke majlis makan malam anjuran Walikota Banda Acheh itu malam tadi.

Titah baginda, industri halal yang dibangunkan di Malaysia amat diyakini di peringkat antarabangsa dan ia dilihat sebagai pelaburan yang berpotensi.

Acheh juga berpotensi menjadi satu daripada pasaran bagi produk-produk industri halal yang dibangunkan oleh Perlis memandangkan wilayah Acheh mempunyai populasi penduduk Islam hampir 4.8 juta orang,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut melihat potensi sektor pelancongan dan yakin kepakaran dan pengalaman Acheh dalam bidang berkenaan boleh dikongsi Perlis termasuk memperkenalkan pakej-pakej yang boleh memikat pelancong oleh agensi-agensi pelancongan

Selain memperkenalkan pakej pelancongan, ia secara tidak langsung memperkenalkan budaya serantau terutama Acheh dan Perlis.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut mencadangkan perkongsian kepakaran yang lebih serius dan meluas dalam bidang-bidang khusus termasuk pendidikan Islam.

Acheh sebagai pusat pengembangan pendidikan berteraskan agama Islam adalah selari dengan pembangunan pendidikan Islam di Perlis yang telah mewujudkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs, Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs), Sekolah Menengah Agama Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (Matri) dan sebuah Maahad Tahfiz swasta bertaraf antarabangsa yang bakal diwujudkan,” titah baginda

Baginda juga bertitah, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dan Kolej Antarabangsa Teknologi dan Profesional (KATPM) Perlis juga boleh menjalin kerjasama pintar dengan institusi-institusi pendidikan di Acheh khususnya dalam aspek kejuruteraan kerana institusi-institusi ini mempunyai rekod cemerlang dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Kerjasama yang terjalin akan mengharmonikan bidang pendidikan kedua pihak selain memperkasakan bidang-bidang kerjasama yang terjalin, titah baginda.

Turut hadir ‎Naib Canselor Unimap Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Rektor Universiti Ubudiyah Indonesia (UUI) Marniati M. Kes serta Setiausaha Sulit Menteri Pendidikan, Mohd Nizar Sudin. – Bernama