Malam citra budaya unimap 2015 gabungan budaya negara dan antar bangsa

Pauh Putra, 27 Mei – Bertemakan gabungan pelbagai budaya di Malaysia khususnya Perlis, Malam Citra Budaya UniMAP 2015 dianjurkan bersempena dengan Hari Keputeraan Ke-72 Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini hari ini.

Malam Citra Budaya UniMAP 2015 diadakan bagi memartabatkan tarian dan muzik tradisional Perlis dengan melibatkan hampir 200 pelajar tempatan dan antarabangsa UniMAP serta penggiat seni tempatan.

Turut dimeriahkan juga persembahan-persembahan kebudayaan antarabangsa seperti kebudayaan dan kesenian dari Thailand, Myanmar, Indonesia, Yemen dan Uzbekistan seperti tarian Aekgalak dari Universiti Wallailak, Thailand, tarian Ratouh Jarouh dan Tarek Pukat dari Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), tarian Jotal serta Barbie Doll dari Uzbekistan.

DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah, baginda melahirkan rasa teruja dengan persembahan berkenaan yang disifatkan Baginda setaraf dengan persembahan Istana Budaya Kuala Lumpur.

“Beta tidak akan dapat melupakan persembahan yang begitu istimewa malam ini yang mendapat sambutan begitu meriah daripada penonton yang terdiri pelbagai bangsa terutama dari negara Yemen dan Uzbekistan.

“Beta juga ingin melahirkan ucapan tahniah di atas penganjuran hebat ini termasuk persembahan ketika Malam Kilauan Cahaya di Istana Arau baru-baru ini yang menarik begitu ramai pengunjung hadir,” titah Baginda di penutup Malam Citra Budaya 2015 berkenaan.

Turut berkenan berangkat hadir ialah DYMM Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Perlis , Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin serta isteri ,Datin Noridah Yangman serta Rektor UUI Ibu Marniati M. Kes.

Di malam penuh gemilang itu juga turut diadakan Anugerah Tokoh Masyhur Budi UniMAP yang dianugerahkan Allahyarham Dato’ Mustapha Maarof yang sebelum ini banyak berbakti kepada pembangunan seni dan budaya negara termasuk sumbangan kepada UniMAP dalam kerja-kerja amal serta kebajikan.

Selain itu, UniMAP turut menganugerahkan Anugerah Tokoh Cendana Budi kepada Encik Romli Mahmud yang merupakan satu-satunya penggiat Awang Batil di negara ini. (sumber: Phttp://www.unimap.edu.my/)