Penyelidikan, Pengkormesilan Dan Penerbitan Berimpak Kunci Kejayaan Universiti Malaysia

foto dan penghargaan

BANDA ACHEH, 27 April (Bernama) — Penglibatan dalam bidang penyelidikan, pengkomersilan dan penerbitan berimpak merupakan kunci utama kejayaan universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig Jen Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin.

Katanya sokongan dan komitmen kerajaan yang memberikan geran penyelidikan kepada UA, IPT dan agensi penyelidikan adalah galakan untuk menghasilkan inovasi dan teknologi terkini bagi kepentingan masyarakat.

Katanya dalam tempoh 10 tahun lepas, UniMAP menerima sekitar RM91.4 juta geran penyelidikan daripada pelbagai institusi yang membolehkan ia menjalankan lebih 1,500 projek penyelidikan.

Aktiviti penyelidikan menghasilkan penemuan terbaru tetapi secara tidak langsung meningkatkan kapasiti UniMAP di persada antarabangsa dengan meraih geran penyelidikan antarabangsa daripada beberapa negara luar, katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Bersama Kali Pertama Indonesia, Malaysia, Bangladesh, Ireland (Ist IJCIMBI) 2015 di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) yang dirasmikan oleh Assisten II Bidang Keistimewaan Pembangunan dan Ekonomi SEKDA Acheh, Azhari S.E. M.si di sini hari ini.

Kamarudin berkata melalui inisiatif aktiviti penyelidikan juga menyumbang kepada penghasilan lebih banyak penerbitan berimpak tinggi yang meningkatkan reputasi dan imej UniMAP di kalangan UA dan IPT di seluruh dunia.

Sebagai contoh analisis yang dijalankan oleh Reed Elsevier menunjukkan UniMAP antara UA yang menunjukkan pencapaian membanggakan di dalam pangkalan data Scopus, katanya.

Beliau berkata impak sitasi UniMAP telah melebihi paras 1.0 iaitu paras purata pengukuran global dan data ini digunakan sendiri oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membudayakan penyelidikan dan inovasi di kalangan UA di negara ini.